Sunday, 27 May 2012

Kepentingan Ilmu Pengetahuan





Telah diketahui umum bahawa pada era globalisasi ini penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian terutamanya bagi umat Islam untuk bersaing seiring dengan bangsa-bangsa lain bagi mencapai kemajuan. Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana.Tanpa ilmu pengetahuan seseorang itu seperti tin kosong yang tidak mempunyai apa-apa nilai.


Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan kerana ilmu itu sangat penting dalam kehidupan manusia, tanpa ilmu kehidupan kita akan berada dalam kejahilan dan kemunduran. Sebagaimana hadis Rasullullah s.a.w yang membawa maksud " Menuntut ilmu adalah difardukan ke atas setiap muslim". Selain daripada itu menuntut ilmu itu bukanlah setakat ilmu dunia sahaja bahkan kita perlu ada ilmu pengetahuan semasa. Sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w "Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China". Berdasarkan hadis ini, Rasullullah mengingatkan umatnya tentang kepentingan ilmu walaupun terpaksa mempelajari ilmu daripada bangsa lain.


Memiliki ilmu pengetahuan juga dapat meningkatkan darjat seseorang sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mujadalah : ayat 11. yang bermaksud; " Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang berilmu kepada darjat-darjat yang tinggi". Dari ayat ini jelas menunjukkan kepentingan menuntut ilmu disisi Allah sehingga dinaikkan ke darjat tertinggi.


Terlalu banyak banyak kepentingan ilmu pengetahuan seperti melahirkan insan yang berakhlak mulia.Seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian seperti nilai saling menghormati, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai.Dengan ilmu juga seseorang boleh mengenali dan membezakan sesuatu antara baik dan buruk. Yang lebih penting lagi dengan ilmu, masa depan seseorang itu akan terjamin. Dengan ilmu juga akan melahirkan insan yang berintelektual yang dapat menguasai pelbagai bidang ilmu. Selain itu, dengan ilmu pengetahuan,sebarang masalah dalam kehidupan seharian dapat diselesaikan dengan izin-Nya.


Kesimpulannya, tidak kiralah apa sahaja ilmu, asalkan membawa kebaikan kepada diri, tidak melanggar perintah Allah, tidak menyalahi undang-undang, perlu kita pelajari. Diharap dengan segala ilmu yang dituntut akan dapat digunakan dengan sebaiknya dan menjadikan kita selangkah di hadapan berbanding yang lain.

1 comment:

  1. hadis tuntutlah ilmu hingga ke negeri cina adalah hadis maudhuk, hadis palsu. begitu juga hadis mngenai tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad. mohon cari sumber hadis yang sahih. walau bgaimanapon, bagus perkongsiannya. :)

    ReplyDelete