Sahabat, perkataan yang terlalu biasa didengari dan bukannya sesuatu yang aneh, tetapi memberikan impak tersendiri kepada seseorang. Setiap orang mempunyai sahabat tidak dan boleh dikatakan mustahil seorang insan yang bergelar manusia tidak mempunyai sahabat.
Jadi apakah erti sahabat ini?.. Satu definisi yang agak mendalam maksudnya, dan mungkin berbeza bagi setiap insan di muka bumi ini. Bagi aku sahabat adalah seorang insan yang sanggup berkongsi apa saja yang kita alami...suka, duka..dan apa saja. Tetapi sahabat sejati di dunia ini bukan senang dijumpai.
“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)
Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,
“Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis, dapat dilihat bahawa sahabat itu adalah segalanya dan saling berkait antara satu sama lain.Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran. Jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya seperti pepatah Melayu mengatakan 'kawan makan kawan'.Mereka ini bila di depan kita berlagak baik dan bermuka-muka, tetapi di belakang kita lain ceritanya.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:
1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan
Walau apa pun definisi sahabat itu, sahabat tetap memainkan peranan penting dalam hidup seseorang. Tanpa sahabat, ibarat langit tanpa bulan apabila senja menjelang..Sunyi tidak terperi yang tidak dapat diungkaikan dengan kata-kata jika kehilangan seorang sahabat yang sejati..Jadi, jagalah nilai persahabatan itu ibarat sebutir permata yang amat ternilai harganya.
No comments:
Post a Comment