Apakah konsep 1Malaysia?.Konsep yang telah menjadi buah mulut orang ramai sejak mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak. 1Malaysia atau Satu Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum tanpa mengira kepelbagaian etnik dan budaya.
Melalui slogan ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’,konsep ini tetap gah dalam mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama terjalin walaupun berbagai tafsiran dan dakwaan timbul setelah konsep ini pertama kali dilaksanakan. Bagi yang tidak menyokong konsep ini timbul tafsiran negatif kononnya konsep ini bakal menggugat hak dan keistimewaan orang Melayu. Malah, lebih teruk lagi wujud dakwaan bahawa konsep 1Malaysia ini ditiru dari slogan One Israel.
Logo 1Malaysia terbentuk dari nombor satu dan berlatarbelakangkan bendera Malaysia.Logo tersebut melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.
Jika diperhalusi ke semua lapan nilai dalam konsep Satu Malaysia ini iaitu, budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, integriti dan pendidikan, sememangnya bertepatan dengan hala tuju negara pada ketika ini.
Walau apapun telahan dan tafsiran yang timbul dari konsep 1Malaysia ini, hasrat murni PM kita untuk menyatupadukan rakyat tidak seharusnya dipandang serong.Melalui konsep 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.Kita sebagai rakyat Malaysia harus menyokong sepenuhnya tindakan PM kita dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat
No comments:
Post a Comment