Sunday, 27 May 2012

Tokoh Idola


Tun Dr. Mahathir Mohamad





Idola??...Setiap orang tidak terkecuali mempunya idola tersendiri, termasuklah saya. Tiada orang lain yang menajadi idola saya melainkan Mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Masih kenalkah kamu dengan pemimpin berwibawa ini?.. Agak mustahil bagi anak Malaysia yang tidak mengenal tokoh ini kecuali golongan yang berada di bawah tempurung.


Kenapa Tun Mahathir? Kenapa bukan orang lain?..Kenapa bukan artis popular?..Soalan yang biasa akan dilontarkan jika bercerita pasal idola masing-masing. Ini kerana Beliau merupakan seorang yang berkarisma dan sangat berkaliber dalam pemerintahan sekaligus berjaya memacu Malaysia ke arah kejayaan.Saya yakin dan percaya bahawa ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadikan Dr Mahathir sebagai idola mereka


Perdana Menteri Malaysia ke-4 ini yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran merupakan seorang Negarawan terulung yang paling terkenal dalam sejarah negara kerana beliau merupakan seorang arkitek kepada pembangunan Malaysia.Tun mempunyai idea dan pemikiran yang lebih jauh ke depan dalam membina bangsa dan negaranya.


Mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981 sehingga tahun 2003 menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling lama menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu selama 22 tahun.Ternyata Malaysia berubah wajah secara drastik di bawah pemerintahan beliau sehingga digelar Bapa Pemodenan Malaysia.


Beliau merupakan seorang perintis ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang termaktub dalam misi Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh beliau. Beliau mempunyai daya pemikiran yang menjangkau jauh ke hadapan.Walaupun kadang-kadang cadangan dan pandangan Tun agak berbeza daripada pandangan umum,tetapi beliau berani dalam membuat sesuatu keputusan untuk kepentingan negara.Di samping itu juga beliau mempunyai visi dan misi yang jelas untuk dicapai.Perkara seperti inilah wajar kita ambil sebagai contoh dan panduan dalam diri.


Saya rasa amat bersyukur dan berbangga kerana ditakdirkan mempunyai seorang pemimpin seperti beliau.Telah banyak pencapaian yang diperoleh Malaysia di peringkat antarabangsa di bawah naungan pemerintahan beliau.Daripada sebuah negara yang mundur telah berubah menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesatnya.Dahulu jika disebut nama Malaysia mungkin masyarakat dunia tertanya-tanya di manakah Malaysia dan bermacam lagi persoalan yang timbul.Namun kini dengan kepesatan pembangunan Malaysia telah terkenal di seluruh dunia.Suatu pencapaian yang amat menggagumkan bagi sebuah negara yang boleh dianggap masih setahun jagung.


Oleh yang demikian segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau sumbangkan kepada agama, bangsa, dan negara wajarlah dihargai.Di samping itu juga,kita semua patut menteladani semua nilai-nilai yang baik yang ada pada diri Dr.Mahathir untuk dijadikan panduan dalam menempuh hari-hari mendatang.Semoga kita semua berjaya mencapai matlamat yang dicipta dan terus maju jaya.



Kepentingan Ilmu Pengetahuan





Telah diketahui umum bahawa pada era globalisasi ini penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang amat penting dan perlu di beri perhatian terutamanya bagi umat Islam untuk bersaing seiring dengan bangsa-bangsa lain bagi mencapai kemajuan. Perubahan zaman kian membuktikan penguasaan ilmu pengetahuan boleh menjamin kejayaan individu jika di manfaatkan dengan bijaksana.Tanpa ilmu pengetahuan seseorang itu seperti tin kosong yang tidak mempunyai apa-apa nilai.


Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan kerana ilmu itu sangat penting dalam kehidupan manusia, tanpa ilmu kehidupan kita akan berada dalam kejahilan dan kemunduran. Sebagaimana hadis Rasullullah s.a.w yang membawa maksud " Menuntut ilmu adalah difardukan ke atas setiap muslim". Selain daripada itu menuntut ilmu itu bukanlah setakat ilmu dunia sahaja bahkan kita perlu ada ilmu pengetahuan semasa. Sebagaimana sabda Rasullullah s.a.w "Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China". Berdasarkan hadis ini, Rasullullah mengingatkan umatnya tentang kepentingan ilmu walaupun terpaksa mempelajari ilmu daripada bangsa lain.


Memiliki ilmu pengetahuan juga dapat meningkatkan darjat seseorang sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mujadalah : ayat 11. yang bermaksud; " Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang berilmu kepada darjat-darjat yang tinggi". Dari ayat ini jelas menunjukkan kepentingan menuntut ilmu disisi Allah sehingga dinaikkan ke darjat tertinggi.


Terlalu banyak banyak kepentingan ilmu pengetahuan seperti melahirkan insan yang berakhlak mulia.Seseorang yang berilmu akan dapat memanfaatkan nilai-nilai murni yang dipelajari dalam kehidupan seharian seperti nilai saling menghormati, bertanggungjawab, bertimbang rasa dan menghargai.Dengan ilmu juga seseorang boleh mengenali dan membezakan sesuatu antara baik dan buruk. Yang lebih penting lagi dengan ilmu, masa depan seseorang itu akan terjamin. Dengan ilmu juga akan melahirkan insan yang berintelektual yang dapat menguasai pelbagai bidang ilmu. Selain itu, dengan ilmu pengetahuan,sebarang masalah dalam kehidupan seharian dapat diselesaikan dengan izin-Nya.


Kesimpulannya, tidak kiralah apa sahaja ilmu, asalkan membawa kebaikan kepada diri, tidak melanggar perintah Allah, tidak menyalahi undang-undang, perlu kita pelajari. Diharap dengan segala ilmu yang dituntut akan dapat digunakan dengan sebaiknya dan menjadikan kita selangkah di hadapan berbanding yang lain.

Makna Persahabatan




Sahabat, perkataan yang terlalu biasa didengari dan bukannya sesuatu yang aneh, tetapi memberikan impak tersendiri kepada seseorang. Setiap orang mempunyai sahabat tidak dan boleh dikatakan mustahil seorang insan yang bergelar manusia tidak mempunyai sahabat.

Jadi apakah erti sahabat ini?.. Satu definisi yang agak mendalam maksudnya, dan mungkin berbeza bagi setiap insan di muka bumi ini. Bagi aku sahabat adalah seorang insan yang sanggup berkongsi apa saja yang kita alami...suka, duka..dan apa saja. Tetapi sahabat sejati di dunia ini bukan senang dijumpai.


Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Dari Nu’man bin Basyir r.a., Rasulullah SAW bersabda,
Perumpamaan persaudaraan kaum muslimin dalam cinta dan kasih sayang di antara mereka adalah seumpama satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh sakit maka mengakibatkan seluruh tubuh menjadi demam dan tidak bisa tidur.” (Hadis riwayat Muslim)


Berdasarkan hadis, dapat dilihat bahawa sahabat itu adalah segalanya dan saling berkait antara satu sama lain.Dalam Islam, faktor memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.


Pujangga pernah berkata, persahabatan yang tidak jujur umpama meniti buih di lautan. Hamparan buih nan memutih, hanya indah di luaran namun melewatinya bererti menuju ke jurang kehancuran. Jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya seperti pepatah Melayu mengatakan 'kawan makan kawan'.Mereka ini bila di depan kita berlagak baik dan bermuka-muka, tetapi di belakang kita lain ceritanya.



Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti di bawah:

1. Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.


2. Sahabat yang hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.


3. Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.


4. Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka pesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan


Walau apa pun definisi sahabat itu, sahabat tetap memainkan peranan penting dalam hidup seseorang. Tanpa sahabat, ibarat langit tanpa bulan apabila senja menjelang..Sunyi tidak terperi yang tidak dapat diungkaikan dengan kata-kata jika kehilangan seorang sahabat yang sejati..Jadi, jagalah nilai persahabatan itu ibarat sebutir permata yang amat ternilai harganya.

Sunday, 6 May 2012

Konsep 1Malaysia




 Apakah konsep 1Malaysia?.Konsep yang telah menjadi buah mulut orang ramai sejak mula diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak. 1Malaysia atau Satu Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan penduduk Malaysia yang berbilang kaum tanpa mengira kepelbagaian etnik dan budaya.


Melalui slogan ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’,konsep ini tetap gah dalam mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia yang sudah sekian lama terjalin walaupun berbagai tafsiran dan dakwaan timbul setelah konsep ini pertama kali dilaksanakan. Bagi yang tidak menyokong konsep ini timbul tafsiran negatif kononnya konsep ini bakal menggugat hak dan keistimewaan orang Melayu. Malah, lebih teruk lagi wujud dakwaan bahawa konsep 1Malaysia ini ditiru dari slogan One Israel.


Sebagai rakyat Malaysia yang menyokong usaha membawa negara ini menjadi sebuah negara maju, kuat, bersatu serta dihormati, gagasan Satu Malaysia ini wajar disokong dan didokong oleh semua pihak. Walaupun ada pihak yang mempertikaikan dan mentafsirkan gagasan ini sebagai bakal menghakis hak dan kesitimewaan orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera lainnya, pandangan cetek begini perlu disangkal. Apa yang jelas, gagasan Satu Malaysia ini masih berlandaskan atau berpaksikan kepada Perlembagaan dengan memastikan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera akan terus dipelihara dan dalam masa yang sama hak-hak kaum lain akan terus dibela dan dihormati.


Logo 1Malaysia terbentuk dari nombor satu dan berlatarbelakangkan bendera Malaysia.Logo tersebut melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.


Jika diperhalusi ke semua lapan nilai dalam konsep Satu Malaysia ini iaitu, budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, integriti dan pendidikan, sememangnya bertepatan dengan hala tuju negara pada ketika ini. 


Walau apapun telahan dan tafsiran yang timbul dari konsep 1Malaysia ini, hasrat murni PM kita untuk menyatupadukan rakyat tidak seharusnya dipandang serong.Melalui konsep 1Malaysia, YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.Kita sebagai rakyat Malaysia harus menyokong sepenuhnya tindakan PM kita  dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat


Erti Cinta





Cinta?


Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cinta bermaksud perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada (negara,orang tua,kebebasan, dll). Pengertian cinta sukar difahami kerana merupakan salah satu emosi dan perasaan individu yang bersifat subjektif. Ini membawa maksud, cinta memberi makna yang tersendiri kepada individu bergantung pada penghayatan dan pengalamannya.

Cinta boleh ditafsirkan dengan ungkapan i love you,wo ai ni, abang cintakan sayang dan berbagai lagi kalimah bagi membuktikan betapa cintanya seseorang itu kepada pasangan masing-masing.

Cinta juga boleh dizahirkan dengan perbuatan sepertimana kasih seorang ibu bapa terhadap anaknya dengan  memberi sepenuh perhatian ,menjaga makan minum, pakaian ,belaian dan sebagainya untuk menunjukkan sifat cinta mereka.

Tanda-tanda Cinta



  • Ada unsur tarikan dan kekaguman  
    Biasanya cinta diawali dengan perasaan tertarik dan kekaguman  itu terhadap penampilan fizikal, sifat , kemampuan, keunikan seseorang itu. Walaubagaimanapun, perasaan ini ini berbeza-beza bergantung kepada setiap individu.
  • Sentiasa mengingati

  • Perasaan cinta membuatkan orang yang dicintai sentiasa terbayang-bayang dalam ingatan seseorang itu.
  • Wujudnya pengorbanan

    Perasaan cinta membuatkan individu itu sanggup berkorban demi membahagiakan orang dicintai. Maka tidak hairanlah wujud perumpaan orang dulu-dulu mengatakan bahawa " Lautan api sanggup ku redahi, demi membuktikan cintaku kepadamu"
         

Cinta Pandang Pertama

Cinta pandang pertama bermaksud apabila seorang lelaki atau wanita yang secara kebetulan terserempak dengan pasangan yang belum kenal. Apabila dikatakan pandang pertama, ini bererti hasil dari pertemuan yang tidak dirancang itu,maka sudah wujud bibit percintaan dalam diri kedua-duanya bak kata pepatah dari mata turun ke hati. Mereka mungkin kelu seribu bahasa kala pertama kali bertemu, tapi hati sudah berbisik 'dia sesuai untuk aku'.  Biasanya cinta pandang pertama sukar untuk dilupakan ibarat peribahasa Inggeris; "First love never die".


Amat kompleks untuk mengulas tentang cinta.kerana definisinya yang luas dan bergantung kepada individu. Pemahaman dalam cinta perlu mendalam sebelum mengenali pasangan kita.Walaubagaimanapun mendalami cinta itu bukan perkara yang mudah dan bukannay cinta berlandaskan nafsu tapi cinta yang lahir dari hati yang luhur.












Monday, 19 March 2012

Isu Bahasa Melayu



"BAHASA JIWA BANGSA"...Jelas sekali maksudnya, bahasa apa yang kita gunakan atau perjuangkan, maka bahasa itulah yang akan membentuk jati diri sesuatu bangsa. Tetapi,kenapa dengan bahasa Melayu?.Adakah penggunaan bahasa Melayu sudah tidak revelan dan pupus ditelan zaman?..

Isu penggunaan bahasa Melayu semakin 'panas' dengan keputusan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir b. Mohamad bahawa mata pelajaran sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris. Keputusan yang menggemparkan semua rakyat Malaysia,dimana tatkala negara lain di seluruh dunia berusaha memartabatkan penggunaan bahasa sendiri,kita pula terhegeh-hegeh mengagungkan bahasa asing. Dimana kedudukan sebenar bahasa Melayu di mata pemimpin ketika itu,walhal sebelum ini lantang memperjuangkan martabat bahasa pengantar kita,bahasa Melayu. Perkara ini dapat dilihat semasa beliau menjawat Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia dengan tegas sekali mengatakan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengantar utama untuk semua kursus di universiti. Tetapi apa sudah jadi sekarang?. Beliau jugalah yang merombak dasar pendidikan negara yang jelas membelakangkan bahasa ibunda kita sendiri.

Apakah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sememangnya berteraskan 100% bahasa Melayu selama 30 tahun tidak membuahkan hasil?.Jika benar apakah berjuta-juta lepasan SPM yang cemerlang yang sebahagian besar melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak kemajuan negara juga hasil yang gagal?.Berapa ramai cendekiawan dan professor yang lahir dari sistem pendidikan negara sebelum ini yang memang beterasakan bahasa kebangsaan?..Semestinya bukan seorang dua, tetapi beribu-ribu jumlahnya.

Jadi apakah impaknya dasar pendidikan baharu kepada bangsa dan negara?.Pertama sekali sudah tentu pelajar luar bandar yang majoritinya adalah Melayu  akan terjejas dalam pelajaran kerana penggunaan bahasa asing yang semakin meluas. Lebih malang lagi,menurut kajian DBP-UKM menunjukkan penurunan prestasi pelajar dalam pelajaran matematik,sains dan bahasa Inggeris, bahkan bahasa Melayu sendiri. Kenapa terjadinya perkara sebegini? Barangkali wujud kekeliruan dikalangan pelajar dan guru yang terkejut dengan pelaksanaan bahasa Inggeris dalam matematik dan sains.

Dari segi bahasa Melayu pula, proses untuk menjadikan bahasa kebangsaan ini sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden nyata hanya tinggal kenangan. Malangnya bahasa Melayu akan jadi bahasa pasar sahaja, suatu hakikat yang nyata tidak dapat diterima.Tidak akan ada lagi istilah baru yang akan tercipta dalam bahasa Melayu jika ilmu-ilmu baru seperti siber, aeroangkasa semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Sudah tentu buku rujukan yang diterbitkan dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan sains, teknologi, perubatan akan merudum kerana sudah tiada pembacanya lagi. Kemana pula golongan penterjemah mencari sesuap nasi yang dahulunya begitu bersemangat sekali menterjemah buku teks dari bahasa asing ke bahasa kebangsaaan untuk kegunaan bangsa sendiri dalam menimba ilmu untuk memartabatkan negara.

Bagaimana pula nasib media massa berbahasa Melayu?. Jika dahulu akhbar harian berbahasa Melayu khususnya Utusan Melayu laku ibarat pisang goreng panas, tapi kini nazak dan terus merudum jualannya. Cuba bayangkan 20 tahun lagi, akhbar berbahasa Melayu tidak akan memuatkan lagi ruangan teknologi, sains, perubatan,komputer,perniagaan dan lain-lain kerana kehilangan pembacanya. Bolehkan akhbar ini hidup tanpa ruangan sedemikian?. Menurut statistik terkini di Malaysia, edaran akhbar terbesar berbahasa  Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun akan datang jika penukaran bahasa pengantar 50%-70% mata pelajaran sekolah ke dalam bahasa Inggeris.

Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan begitu juga dengan isu bahasa Melayu. Segala teguran dan pandangan dari pejuang bangsa haruslah dia ambil iktibar bukannya dihentam dan dicaci. Mereka sekadar bersuara untuk mempertahankan dasar negara yang sama-sama dibina untuk memartabatkan bahasa rasmi,bahasa kebangsaan kita yakni, bahasa Melayu.Akhir sekali bersama-samalah kita berusaha mengangkat dan mempertahankan bahasa ibunda kita agar tidak luput ditelan zaman..