Monday, 19 March 2012
Isu Bahasa Melayu
"BAHASA JIWA BANGSA"...Jelas sekali maksudnya, bahasa apa yang kita gunakan atau perjuangkan, maka bahasa itulah yang akan membentuk jati diri sesuatu bangsa. Tetapi,kenapa dengan bahasa Melayu?.Adakah penggunaan bahasa Melayu sudah tidak revelan dan pupus ditelan zaman?..
Isu penggunaan bahasa Melayu semakin 'panas' dengan keputusan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir b. Mohamad bahawa mata pelajaran sains dan matematik akan diajar dalam bahasa Inggeris. Keputusan yang menggemparkan semua rakyat Malaysia,dimana tatkala negara lain di seluruh dunia berusaha memartabatkan penggunaan bahasa sendiri,kita pula terhegeh-hegeh mengagungkan bahasa asing. Dimana kedudukan sebenar bahasa Melayu di mata pemimpin ketika itu,walhal sebelum ini lantang memperjuangkan martabat bahasa pengantar kita,bahasa Melayu. Perkara ini dapat dilihat semasa beliau menjawat Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan Malaysia dengan tegas sekali mengatakan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa pengantar utama untuk semua kursus di universiti. Tetapi apa sudah jadi sekarang?. Beliau jugalah yang merombak dasar pendidikan negara yang jelas membelakangkan bahasa ibunda kita sendiri.
Apakah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sememangnya berteraskan 100% bahasa Melayu selama 30 tahun tidak membuahkan hasil?.Jika benar apakah berjuta-juta lepasan SPM yang cemerlang yang sebahagian besar melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak kemajuan negara juga hasil yang gagal?.Berapa ramai cendekiawan dan professor yang lahir dari sistem pendidikan negara sebelum ini yang memang beterasakan bahasa kebangsaan?..Semestinya bukan seorang dua, tetapi beribu-ribu jumlahnya.
Jadi apakah impaknya dasar pendidikan baharu kepada bangsa dan negara?.Pertama sekali sudah tentu pelajar luar bandar yang majoritinya adalah Melayu akan terjejas dalam pelajaran kerana penggunaan bahasa asing yang semakin meluas. Lebih malang lagi,menurut kajian DBP-UKM menunjukkan penurunan prestasi pelajar dalam pelajaran matematik,sains dan bahasa Inggeris, bahkan bahasa Melayu sendiri. Kenapa terjadinya perkara sebegini? Barangkali wujud kekeliruan dikalangan pelajar dan guru yang terkejut dengan pelaksanaan bahasa Inggeris dalam matematik dan sains.
Dari segi bahasa Melayu pula, proses untuk menjadikan bahasa kebangsaan ini sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden nyata hanya tinggal kenangan. Malangnya bahasa Melayu akan jadi bahasa pasar sahaja, suatu hakikat yang nyata tidak dapat diterima.Tidak akan ada lagi istilah baru yang akan tercipta dalam bahasa Melayu jika ilmu-ilmu baru seperti siber, aeroangkasa semuanya menggunakan bahasa Inggeris. Sudah tentu buku rujukan yang diterbitkan dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan sains, teknologi, perubatan akan merudum kerana sudah tiada pembacanya lagi. Kemana pula golongan penterjemah mencari sesuap nasi yang dahulunya begitu bersemangat sekali menterjemah buku teks dari bahasa asing ke bahasa kebangsaaan untuk kegunaan bangsa sendiri dalam menimba ilmu untuk memartabatkan negara.
Bagaimana pula nasib media massa berbahasa Melayu?. Jika dahulu akhbar harian berbahasa Melayu khususnya Utusan Melayu laku ibarat pisang goreng panas, tapi kini nazak dan terus merudum jualannya. Cuba bayangkan 20 tahun lagi, akhbar berbahasa Melayu tidak akan memuatkan lagi ruangan teknologi, sains, perubatan,komputer,perniagaan dan lain-lain kerana kehilangan pembacanya. Bolehkan akhbar ini hidup tanpa ruangan sedemikian?. Menurut statistik terkini di Malaysia, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun akan datang jika penukaran bahasa pengantar 50%-70% mata pelajaran sekolah ke dalam bahasa Inggeris.
Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan begitu juga dengan isu bahasa Melayu. Segala teguran dan pandangan dari pejuang bangsa haruslah dia ambil iktibar bukannya dihentam dan dicaci. Mereka sekadar bersuara untuk mempertahankan dasar negara yang sama-sama dibina untuk memartabatkan bahasa rasmi,bahasa kebangsaan kita yakni, bahasa Melayu.Akhir sekali bersama-samalah kita berusaha mengangkat dan mempertahankan bahasa ibunda kita agar tidak luput ditelan zaman..
Subscribe to:
Posts (Atom)